19 May 2010

Berita Harian Online | 6 strategi laksana Dasar 1Murid 1Sukan

2010/05/19
JOHOR BAHRU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan enam strategi selaras pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan mulai tahun depan, bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar berkenaan akan turut memfokuskan untuk mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah dengan penyertaan seorang murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sepanjang tahun itu.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebuah jawatankuasa ad-hoc dipengerusikan beliau sudah mengadakan mesyuarat sebelum ini dan memutus akan melaksanakan enam strategi bagi menjayakan dasar itu.
“Antara enam strategi dipersetujui ialah memberi bantuan kewangan sukan kepada sekolah, mewajibkan pembabitan pelajar dalam aktiviti sukan, mengenal pasti program sukan sekolah untuk dilaksana sepanjang tahun, menubuhkan Bahagian Sukan secara berasingan, elemen sukan dimasukkan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan mengenal pasti lima Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk melatih guru sukan.

“Melalui Dasar 1Murid 1Sukan ini, lengkaplah skop pembangunan sukan di sekolah kerana program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) yang khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang sudah dilaksanakan sejak Julai 2008,” katanya ketika merasmikan majlis pembukaan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-52 di Stadium Larkin di sini, malam tadi.

Muhyiddin berkata, selaras transformasi pendidikan, sudah sampai masa kementerian mempunyai kerangka penilaian yang lebih komprehensif dalam mengukur keberkesanan pelaksanaan setiap agenda pendidikan termasuk kegiatan sukan.

“Jika setiap tahun kita mampu memberi penilaian terhadap prestasi akademik murid dalam pencapaian mereka, maka sewajarnya kita juga mampu memberi laporan prestasi dalam bidang lain termasuk sukan.
“Dengan ini, pandangan mengatakan kementerian terlalu menumpu bidang akademik saja dapat disangkal dan ditangani,” katanya.

Mengulas mengenai Kejohanan MSSM, beliau berkata, kejohanan itu pada asasnya adalah sebahagian daripada program SPTS yang bertindak sebagai platform terbaik memberi peluang kepada atlit sekolah mempamerkan kebolehan serta kehandalan masing-masing.

Katanya, kejohanan tahunan itu membabitkan kira-kira 15,104 atlit bertanding pada peringkat kebangsaan, manakala 5,152 guru akan menguruskan pasukan masing-masing, di samping menjadi pegawai sukan.

Beliau berkata, angka serta bilangan penyertaan akan menjadi lebih besar sekiranya jumlah pertandingan dipertingkatkan membabitkan sekolah-sekolah melalui Dasar 1Murid 1Sukan.

“Kita menjadi tuan rumah kepada Sukan Sekolah-Sekolah Asean Kedua Julai ini... oleh itu kita perlu melakukan persediaan rapi dalam menyediakan atlit kita supaya mampu menjuarai temasya tahunan ini,” katanya

Berita Harian Online | 6 strategi laksana Dasar 1Murid 1Sukan

No comments: