31 Aug 2010

Lailatul Qadar



“SESUNGGUHNYA Kami menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatul al-Qadar. Dan, tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (al-Qadr:1-3)





Ramadan, al-Quran dan Lailatul Qadar mempunyai hubungan rapat antara satu dengan yang lain, sebagaimana diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah saw.



Selain dikenali sebagai bulan puasa dan bulan beribadat, Ramadan dipanggil juga bulan penurunan al-Quran (Nuzul Quran), seperti diterangkan dalam firman Allah bermaksud:



“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan serta perbezaan (antara yang benar dan yang salah)...” (al-Baqarah:185)



Pada ayat pertama surah al-Qadar menerangkan al-Quran diturunkan pada Lailatul al-Qadar, iaitu malam kemuliaan dan kebesaran-saling berkait di antara Ramadan, al-Quran dan Lailatul Qadar.



Justeru, dapat disimpulkan Lailatul al-Qadar itu ialah satu malam daripada bulan Ramadan. Tetapi apakah sebenarnya Lailatul Qadar, bila tarikh yang tepat dan apa kelebihannya?



Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin, berkata ‘lailah’ itu bermaksud malam, manakala al-Qadar ialah ketentuan (nasib, ajal, rezeki dan jodoh pertemuan ditentukan).



“Jadi apabila dirangkaikan sebagai Lailatul Qadar bermaksud Malam Ketentuan dan pada malam ini malaikat diketuai Jibril turun ke bumi. Ada sesetengah mengatakan sebanyak 70,000 malaikat.



“Di sini juga dapat difahami Jibril tugasnya bukan setakat menyampaikan wahyu, bahkan setahun sekali pada Ramadan turun ke bumi,” katanya, sambil menjelaskan maksud ayat 4 dan 5 surah al-Qadr:



“Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”



Malam al-Qadar disifatkan sebagai malam yang berkat. “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. (Maksud ad-Dukhan:3)



Disebabkan mulianya malam al-Qadar Rasulullah saw menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan amal ibadat.



Ini diterangkan dalam hadis dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad saw sabdanya (bermaksud): “Sesiapa menghayati malam al-Qadar dengan mengerjakan solat (dan ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah, nescaya diampunkan dosanya yang lalu.” (Hadis sahih, Riwayat Bukhari).



Ibadat lain yang boleh dilakukan ialah membaca al-Quran, berzikir, beristighfar (memohon ampun), bertaubat dan berdoa.



Zamihan berkata, kelebihan malam al-Qadar bermula pada solat Maghrib, seterusnya Isyak (berjemaah) sehingga Subuh dan ibadat yang menjadi pengisian sepanjang tempoh itu bergantung kepada tahap keimanan masing-masing.



Tetapi malam yang berkat itu tidak dinyatakan secara lebih tepat pada hari tertentu. Tujuannya supaya Rasulullah saw dan umatnya memperbanyakkan ibadat dan amal kebajikan sepanjang bulan.



Rasulullah saw sendiri menghayati 10 malam terakhir Ramadan; mengerjakan ibadat (Qiamullail) dan beriktikaf di masjid, untuk menyambut kedatangan malam yang mulia itu.



“Nabi mengejutkan kaum keluarga untuk beribadat, Nabi fokus berzikir dan beriktikaf di masjid, tetapi malangnya kebanyakan masjid kita dikunci dan yang boleh digunakan untuk beriktikaf di sudut anjung saja,” katanya.



Dari Aisyah r.a., katanya: “Biasanya Rasulullah saw berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat pada 10 malam yang akhir (dari bulan Ramadan), berbanding dengan masa lain.” (Hadis sahih, riwayat Muslim).



Walaupun waktu tepat malam al-Qadar tidak diberitahu, Nabi saw ada memberikan beberapa isyarat mengenai ketibaannya, seperti dinyatakan dalam satu hadis.



Dari 'Aisyah r.a., bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): “Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam al-Qadar pada malam ganjil dalam 10 malam yang akhir, dari bulan Ramadan.” (Hadis sahih, riwayat Bukhari).



Malam yang ganjil ialah malam 21, 23, 25, 27 dan 29 dari bulan Ramadan. Dari keterangan hadis menunjukkan malam yang mulia itu berpindah-pindah (tidak statik) dalam lingkungan 10 malam akhir dari bulan Ramadan.



“Jika menurut Syeikh Abdul Qadir Jailani, malaikat akan mengelilingi dunia pada malam al-Qadar dan mengucapkan salam pada orang beriman yang melakukan ibadat.



“Tiga tanda orang yang mendapat ucapan salam malaikat, iaitu bulu roma meremang, mengalir air mata jernih dan hati berasa tenang sekali.



“Ulama mengatakan pada malam itu, kita akan berasa ada malaikat di sekeliling kita. Malaikat masuk ke semua rumah orang beriman, kecuali rumah yang ada berhala, rumah yang menjadi batu api, orang berkekalan dengan dosa besar dan derhaka pada ibu bapa.



“Lailatul Qadar adalah tawaran atau bonus yang paling tinggi daripada Allah untuk manusia, tetapi tidak semua yang dapat disebabkan halangan dari kita sendiri,” katanya.



Beliau menjelaskan, orang yang mendapat Lailatul Qadar ialah mereka yang meningkatkan ketakwaan, hubungan dengan Allah semakin meningkat, malah perangai berubah kepada lebih baik.



“Justeru, dalam kita mengharapkan Lailatul Qadar, seeloknya kita membuat persediaan, bermula dari pencarian ilmu, seterusnya dengan ilmu dapat beramal ibadat dan ibadat itu pula dengan hati ikhlas,” katanya

(copy from http://www.facebook.com/notes.php?id=118830551472227#!/note.php?note_id=150249851666763)



:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::
ermmm...puasa da nk dkt habes....

No comments: